Monday, November 23, 2009

Masa Depan Bumi Armada Cerah

FPSO kedua perkukuh Bumi Armada

SINGAPURA 2 Ogos - Pengendali kapal sokongan pesisir pantai, Bumi Armada Bhd. (Bumi Armada) memperkukuh kedudukan dalam segmen perniagaannya apabila melancarkan kapal pengapungan, produksi, penyimpanan dan penghantaran (FPSO) kedua miliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hassan Assad Basma berkata, FPSO Armada Perdana akan dihantar ke Nigeria untuk memulakan tugasan bagi pihak Nigerian Agip Exploration Ltd (NAE) yang merupakan anak syarikat kepada gergasi minyak Itali, Eni SpA.

"Armada Perdana dijadual tiba ke lapangan minyak Oyo yang terletak 70 kilometer di luar pesisir pantai Nigeria bulan ini dan penghantaran minyak mentah sulung akan dilakukan pada suku pertama tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran FPSO Armada Perdana di Limbungan Kapal Keppel di sini baru-baru ini.

Pelancaran dilakukan oleh Speaker Dewan Rakyat Nigeria, Dimeji Bankole dan Setiuasaha Persekutuan Kerajaan Nigeria, Mahmud Yayale Ahmed.

FPSO pertama milik syarikat itu, Armada Perkasa kini sedang beroperasi di Lapangan Okoro Setu, Nigeria.

Tambah Hassan, pelancaran FPSO kedua itu yang berjaya disiapkan dalam tempoh 18 bulan adalah satu langkah penting dalam pengembangan operasi perniagaannya di Nigeria.

Katanya, FPSO itu dijangka membantu meningkatkan pendapatan keseluruhan Bumi Armada sebanyak 35 peratus daripada operasinya di negara Afrika itu.

"Kita sudah ada lapan kapal yang beroperasi di pesisir pantai Nigeria, tahun hadapan amat signifikan dengan lebih 35 peratus pendapatan antaranya akan disumbang juga oleh operasi FPSO," katanya.

Tambah beliau, Armada Perdana mempunyai kemampuan memproses 45,000 tong minyak sehari dan mampu menampung sehingga 1 juta tong minyak dalam tangki penyimpanan.

Kata beliau, selain Nigeria, pihaknya juga sedang mencari peluang perniagaan berkaitan operasi FPSO di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Hassan juga melahirkan kesungguhan syarikatnya untuk menyertai perkhidmatan persisiran dan pengangkutan melalui kontrak yang ditawarkan oleh Petronas.

"Kontrak Petronas adalah satu sasaran yang besar dan penting bagi kita," katanya.

No comments:

Post a Comment